
Sedekad Membentuk Generasi Berakhlak Mulia, Sekolah Antarabangsa Berciri Islamik Pilihan Ibu Bapa Moden
February 12, 2025
Sekolah Antarabangsa IDRISSI Rancang Buka Cawangan Ketiga Tahun Ini
February 14, 2025Di sebalik kerancakan perkembangan teknologi khususnya media baharu yang turut merangkumi platform media sosial, banyak pihak terutamanya para ibu bapa bimbang akan masa depan serta hala tuju anak-anak mereka.
Untuk itu, Sekolah Antarabangsa Idrissi (Idrissi) menawarkan pembelajaran berteraskan Islamik dan akademik seiring dan ini sekaligus membuktikan ilmu yang diberikan seimbang dunia dan akhirat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gains Education, Julie Wong, syarikat pemegang Idrissi, Julie Wong berkata, Idrissi sentiasa membekalkan yang terbaik buat para pelajar.
“Sekolah Idrissi sendiri menekankan nilai-nilai Islamik. Di sekolah ini, kami turut menekankan tentang nilai-nilai yang baik dalam diri pelajar, bukan hanya kejayaan dalam akademik semata-mata.
“Kepuasan yang kami dapat apabila mereka menjadi contoh atau insan yang bermanfaat kepada orang lain. Misalnya mempunyai sikap yang baik, menghormati orang lain dan sebagainya.
“Inilah yang kami ingin lahirkan sebab itulah kami sangat mementingkan nilai-nilai yang baik dalam diri pelajar,” katanya.
Julie Wong berkata demikian ketika ditemui media pada majlis sambutan ulang tahun Idrissi ke-10 di Setia Alam, Selangor.

Manakala menurut Pengetua Sekolah Antarabangsa Idrissi Setia Alam, Nur Raimi Rasdi pula, pihak sekolah juga mengikuti perkembangan semasa dunia maya serta menekankan soal cabaran yang dihadapi pelajar seperti pengaruh media sosial dalam kehidupan seharian.
“Idrissi sendiri sentiasa menekankan soal pengaruh media sosial dalam kalangan pelajar.
“Sebenarnya inilah realiti atau cabaran sebenar yang harus kami fokus dalam kalangan pelajar kami.
“Apabila kita melihat mereka di sekolah, Alhamdulillah mereka mempunyai sikap yang sangat baik. Namun dalam kehidupan seharian mereka (di luar sekolah) sudah tentu berbeza.
“Untuk itu kami ada silibus yang dipanggil ‘value education programme’ yang merangkumi dunia digital sekarang,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Idrissi turut bekerjasama dengan pihak lain untuk memantapkan lagi ketahanan dalam diri pelajar itu sendiri.
“Alhamdulillah, dari semasa ke semasa, kami fikir perlunya dalam sesi ceramah atau ‘workshop’ berkenaan dunia digital. Jadi kami ada bekerjasama dengan pegawai dari Suruhanjaya Multimedia (MCMC), polis dan sebagainya.
“Ini penting kerana biar mereka tahu bahawa sikap apabila melayari media sosial perlu ada adabnya. Mungkin ada perkara serius, tapi mereka anggapnya sebagai lawak.
“Sebenarnya sikap seperti inilah memberi kesan negatif seperti buli siber. Mereka perlu tahu perkara yang sebenar, adab mana yang boleh atau tidak apabila melayari media sosial. Dalam masa yang sama, mereka perlu tahu bagaimana untuk melindungi diri mereka sendiri,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Raimi memberitahu pihaknya amat memahami kebimbangan ibu bapa dalam berhadapan situasi ini.
“Kami sebagai pendidik perlu meneruskan usaha ini kerana media sosial mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan mereka.
“Nasihat saya, mungkin remaja melihat keseronokan jadi popular, jadi kita ajar mereka tentang ini dalam jangka masa panjang. Ini secara tak langsung mendidik mereka tentang kesan baik buruk apabila menggunakan media sosial.
“Mereka kena ada ilmu, barulah dia boleh jadi pempengaruh. Tak salah jadi pempengaruh, tapi biarlah ada ilmu dan tahu apa implikasi atas setiap yang mereka lakukan. Misalnya nak buat sesuatu keputusan, mestilah kena ada ilmu yang sesuai.
“Mereka boleh kejar populariti itu, tetapi biarlah bermoral dan mempunyai karakter yang bagus,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Idrissi mengumumkan bakal membuka cawangan sekolah ketiganya di Bukit Jelutong, Shah Alam, pada akhir tahun ini.
Kampus baru itu mampu memuatkan kira-kira 1,000 pelajar dalam usaha Idrissi menyediakan pendidikan holistik yang berteraskan nilai kepada lebih banyak keluarga.

Berita baik juga buat ibu bapa ya g mahukan anak mendalami al Quran apabila sudah ada perancangan untuk memperkenalkan Sekolah Tahfiz Antarabangsa Idrissi, yang menggabungkan pendidikan antarabangsa dan Islam dengan kemudahan asrama.
Selain itu, pembukaan cawangan baharu di Cyberjaya dan Kuala Lumpur dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang juga masih dalam perancangan.
Terdahulu, Idrissi telah menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini, meraikan satu dekad dalam mendidik minda muda melalui gabungan kurikulum antarabangsa, pendidikan alam sekitar dan nilai-nilai Islam.
Pencapaian ulang tahun ke-10 ini diraikan melalui pameran tahunan pelajar Idrissi yang bertemakan Secrets of the Universe: Through Nature’s Lens di Pusat Konvensyen Setia Alam baru-baru ini. – WILAYAHKU
Source: Wilayahku